Tuesday 24 April 2012

Simbiosis Media








Bercakap mengenai media, kita sebenarnya tidak lari untuk memperkatakan yang media ini bersifat konvensional (kebiasaan) berbanding ia diperhalusi pada sifat Islamik. Sebab itulah, untuk santapan minda anda, penulis membawakan ‘simbiosis’ media yang dilihat berlainan pendekatan, ciri, sumber, kandungan mahupun sasaran. Jangan salah anggap pada maksud simbiosis itu sendiri, kerana dipakai hanya sebagai analogi penulis pada kali ini. Mungkin ada yang sudah khatam memahami konsep ini, mungkin ada yang mahu berkongsi sesuatu bersama penulis sendiri. Simbiosis media yang dimaksudkan, media konvensional dan media Islam. Sebelum mengembara dari satu polemik ke polemik yang lain mengenai simbiosis tersebut, lebih manis jikalau kita memahami media konvensional dan media Islam terlebih dahulu dalam perbincangan kali ini.


Media ini adalah media kebiasaan yang digunakan dalam arus perdana dan kiranya juga kita boleh sebut sebagai media barat, media yang secara lahiriahnya, datang dari negara orang berkulit putih. Media Islam pula pada sudut kefahaman manusia, ia sebenarnya tidaklah wujud secara total. Ini kerana, media ini tidak termaktub dalam pena sejarah. Cuma ia disedari wujud secara tidak langsung iaitu melalui komunikasi lama, seperti penyampaian khutbah, pendeklamasian syair , sajak dan puisi, pembacaan kitab dan sebagainya pada zaman kenabian bermula. Dari sudut pendekatan, kedua-dua media wujud dalam kotak kehidupan manusia melalui dunia media elektronik, media cetak dan media baru. Walaubagaimanapun, ia berbeza melalui sumber yang digunapakai dalam memacu kandugan media tersebut. Media konvensional bersumberkan sebarang petunjuk tanpa sekatan bukti dan kebebasan sumber yang diterimapakai. Berlainan media Islam, sudah tentu kiblat utama rujukan media ini adalah Al-Quran dan Hadis. Media ini berlandaskan dua sumber utama yang digunapakai oleh kita sendiri sebagai ahli kepada kepaksian agama yang kita sanjungi selama ini.

 


‘Simbiosis’ media juga tidak dapat tidak untuk terlanjur berbicara mengenai media baru, sedar atau tidak, kita disogokkan dengan pelbagai bentuk media yang mampu mengubah atau menginjak pemikiran manusia dewasa ini ke pelbagai tujuan. Terkadang wujudnya informasi-informasi baru yang kita tidah tahu dari mana datangnya sumber itu, terkadang juga wujudnya beberapa provokasi dalam menjatuhkan reputasi, kedudukan dan nama seseorang dek perihal dunia yang mempunyai pelbagai kancah seperti politik, perbezaan fahaman dan sebagainya. Terkadang juga wujud anasir-anasir yang tidak diketahui berpunca dari mana yang mencipta dakyah-dakyah tersendiri sehinggakan mampu mempengaruhi minda manusia yang tersedia tercemar. Ini yang dikatakan, simbiosis media atau kedua-dua spesies media berlainan mazhab yang kelam dari segi tujuan sebenar dan sasaran yang betul sesuatu media dikembangkan. Ditambah pula dengan kewujudan adrenalin blogger melalui dunia blog yang begitu pesat meresap di jiwa pencinta alam maya menguatkan lagi kemaraan Dunia Baru yang tidak akan ada kesudahannya.




Pada hemat penulis, banyak lagi yang ingin diperkatakan mengenai simbiosis ini. Tidak cukup untuk kita berbicara di dalam entri ini sahaja, ia meliputi rangkuman meluas dari segenap sudut perbincagan ilmiah. Cukuplah sekadar, anda dapat membezakan simbiosis tersebut. Mungkin ada penambahan maklumat, isi dan pandangan, penulis insan yang tentunya kerdil di sisi Maha Esa, tidak dapat untuk penulis lari dari melakukan kekhilafan,mengalu-alukan segala komentar, nasihat, penambahbaikan serta pembetulan yang mungkin kita jadikan sebagai wadah perkongsian yang mungkin dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana.