Thursday 2 April 2015

Perdagangan Internet




      


PERDAGANGAN ELEKTRONIK
Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-dagang (Electronic Commerce). Ia adalah sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih. E-dagang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan dan e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna. E-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau  lebih syarikat di mana satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. E-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual produk akhir dengan pengguna.
E-dagang menggunakan Internet untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak. Dengan adanya e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini. Ia kini digunakan secara meluas terutamanya di negara-negara barat malah diakui oelh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan.
Internet pula boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan dalam dua cara iaitu yang pertama, memasarkan serta menjual barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik. Cara yang kedua ialah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet yang membolehkan pengguna membei barangan di rumah atau tempat perniagaan.
Kelebihan e-dagang dan Internet:
    1. Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos.
    2. Para peniaga boleh membuat promosi dengan mengiklankan produk mereka melalui kemudahan Internet.
    3. Ia membantu syarikat untuk meluaskan pasaran di serata dunia.
    4. Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
      • Contohnya seseorang pelanggan akan mendapat barang tempahannya dalam tempoh yang singkat di mana e-dagang membolehkan tempahan pelanggan dihantar dengan serta-merta kepada bahagian dalaman syarikat yang berkenaan untuk diproses dengan segera.
Kesimpulan
Pendek kata, teknologi telah memberi manfaat kepada para pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada syarikat. Ia juga menjadi salah satu faktor penting yang memaksimumkan hasil sesebuah syarikat.