Monday, 9 April 2012

DESTINASI kehidupan



Dalam kita melestarikan kehidupan dunia dambaan, pastinya banyak ranjau dan onak duri perlu kita tempuhi.

Dalam kita menyusuri laluan getir pengharapan, terdetik sayup kealpaan dek tenggelam nafsu duniawi,

Dalam kita mencari erti ketenangan, tertusuk seribu satu kejahilan hati,

Dalam kita menterjemah rahsia kehidupan, namun mencari sebutir hakikat tidak menjanjikan wadah yang dicari,

Dalam kita meletakkan kendati masa hadapan, tersingkap kabur alpa mengaburi destinasi,


Destinasi...satu tujuan arah yang tiada penghujungnya, senantiasa menjadi cita dan pengharapan

Destinasi...sebenarnya terlalu hampir, tapi terhalang dek dosa bergemerlapan

Destinasi...rasailah petualang kekecewaan, kesakitan, kegembiraan, ketakutan, kegelapan

Destinasi...memacu kesabaran, ketenangan, ketabahan, ketenteraman dan keluhuran

Destinasi...mencipta dimensi melerai nafsu untuk keimanan


Kehidupan, yakni satu pancaroba menjadi sahutan manusia sang khalifah

Kehidupan, teras pelaksanaan merentasi ramuan segenap wadah

Kehidupan, menjanjikan kebahagiaan namun tak mampu meleraikan padah

Kehidupan, merasuk jiwa, segenap hati dan segumpal darah

Kehidupan, sasaran sang marhaen yang tiada sudah

Kehidupan, lantas destinasi jua tidak mampu diredah

Kehidupan, destinasi tidak akan merekah...  


Nukilan: khalifah Arjuna

Tuesday, 3 April 2012

ALAM MERGASTUA: menuju pupus



Di sebalik kehidupan manusia, wujudnya juga ciptaan Allah yang masih belum kita khatam lagi iaitu mengenai sisi lain "kehidupan makhluk tumpangan dunia". Bukan setakat manusia menjadi penghuni kekal dunia, MERGASTUA juga antara makhluk yang sering menjadi peneman setia kepada manusia. Warga MERGASTUA yang tinggal di alam ini dengan pelbagai jenis termasuk unggas yang berterbangan menjadikan dunia penuh dengan kehidupan yang pelbagai dan seakan mencorakkannya dengan variasi "makhluk bernafas".


Sebut sahaja daratan, lautan mahupun udara, MERGASTUA sentiasa mengelilingi manusia dengan harapan menjadi "penyejuk mata yang memandang". Namun, tanpa disedari, MERGASTUA yang menjadi teman sejati manusia ini seakan diancam "virus kehilangan" atau "sindrom kepupusan". Dimanakah hilangnya "mereka"?apakah sebab utama "mereka" tiada dalam pandangan? Tiada kemungkinan melainkan kepastian. MERGASTUA sering menjadi sasaran utama manusia berburu. Aktiviti ini seakan mengancam kehidupan "tiada noda" hidupan-hidupan ini. Manusia menginginkan "kecantikan" dunia, dengan mendapatkan MERGASTUA ini atas tujuan kepentingan yang sentiasa merajai hati manusia yang hilang seri keperimanusiaan.  Apa lagi yang mahu dikejar, barang-barang buatan dari "jasad" mereka, seakan merentap "kebahagiaan" kehidupan MERGASTUA ini. Selain, mengeksploitasi "mereka" dengan menjadikan MERGASTUA ini boneka, "badut" kepada kehidupan kita yang bernama manusia, seolah-olah menjadi "suruhan" pada aktiviti manusia yang tiada pengakhiran.

   
Walau wujud usaha "melayani" mereka di dunia zoo, namun ia tidak mencakupi kepada pemuliharaan secara total ALAM MERGASTUA ini. Hilang perlindungan mereka dengan punah hutan simpan yang sekan tinggal pada nama sahaja. Mana belantara-belantara yang menjadi pembela mereka?jawapan yang pasti, TIADA. Cuba kita, manusia memasuki alam mereka, menyelami 'penderitaan' yang "mereka" alami. Tiada lain yang "mereka" tuntut melainkan HAK KEBEBASAN seumpama manusia yang tidak pernah berhenti memperjuangkan erti "merdeka daripada segalanya".
Seharusnya, agen manusia adalah agen penyelamat kepada MERGASTUA yang kita kagumi kerana tiada mereka, maka hilanglah seri dunia, punahlah hiasan dunia,
MERGASTUA...lambang kehidupan apresiasi manusia
MERGASTUA...hidangan pancaindera manusia
MERGASTUA...pelosok dunia mahupun Malaysia
MERGASTUA...usai manusia seiring usia....
SELAMATKANLAH ALAM MERGASTUA...