Monday, 7 May 2012

OOPSS, KHILAF TAIP...

Dalam dunia ini, manusia seperti kita tidak mampu untuk lari dari melakukan kesalahan, tidak kiralah kesalahan itu datang dari perbuatan mereka sendiri ataupun melalui perkataan yang dizahirkan melalui penulisan, ruang tanda, khidmat pesanan ringkas, walaupun apabila kita menaip dalam sesuatu perkara. Samada, di akhbar, papan tanda, dalam telefon, penerbitan buku, majalah dan sebagainya, kesalahan ejaan ataupun typo tidak dapat tidak untuk kita elak dari melakukannya. Tidak banyak, hatta sedikit pun ia dikira terkhilaf sesuatu ejaan atau penaipan. Di sini, penulis sertakan beberapa gambar kesalahan atau kekhilafan ejaan yang sempat penulis lihat dan perasan.

  

Ini merupakan kesalahan pertama penulis dapat yang mana kesalahan di atas dijumpai sekitar Jalan Pekan Nilai. Tidak pernah rasanya penulis mendengar atau melihat perkataan POLISE, melainkan POLIS, iaitu anggota keselamatan dan keamanan di Malaysia. Boleh jadi si pemilik car wash ini menawarkan perkhidmatan CAR POLISH atau menggilap kereta.



Satu lagi kesalahan yang dijumpai di sekitar kawasan tempat tinggal penulis iaitu di kawasan Labu, Seremban. Penulis tidak pasti samada, pemilik gerai mempunyai bahasa tersendiri dalam menafsir sesuatu makanan. Jelas kelihatan perkataan KUII itu, patut dibetulkan kepada KUIH.


Juga dijumpai di Pekan Nilai. Ejaan yang sepatutnya pada perkataan PERABUT di atas adalah PERABOT, mengikut ejaan yang betul di dalam Kamus Dewan yang termaktub.


Sudah terang lagi bersuluh, tetapi apakan daya, wartawan juga tidak dapat lari untuk melakukan kesalahan dalam penaipan. Tidak mungkin ayat peniaga di atas sesuai dengan KECURIAN tersebut yang sepatutnya digantikan kepada KERUGIAN.


Kesalahan ejaan di atas dilaporkan di kawasan Kampung Bukit Kadir, Nilai yang mana merupakan kawasan masjid kampung tersebut. Dalam perkataan arab perkataan yang selalu digunakan untuk menunjukkan masjid di sesuatu kampung di panggil Qaryah. Berlainan maksudnya apabila kampung yang dipindah bahasa kepada bahasa Arab adalah KHARIAH, yang tidak membawa maksud sebenar.

Inilah lima Typo atau kesalahan ejaan yang sempat penulis rakamkan, prihatinkan dan titikberatkan. Banyak lagi sebenarnya kesalahan yang penulis jumpa dan perasan, yang mungkin penulis akan 'mendedahkannya' di masa yang akan datang. Tidak kiralah kesalahan itu datang dari papan tanda, sesuatu produk, penulisan majalah, akhbar, penulisan buku dan sebagainya. Apa yang penting, kita adalah manusia biasa tidak pernah lari dari MEMBUAT KESALAHAN lagi-lagi kesalahan itu datang dari perkara yang kita tidak pernah jangka seperti 'kekhilafan' di atas, walau hanya KHILAF TAIP.  







Tuesday, 24 April 2012

Simbiosis Media








Bercakap mengenai media, kita sebenarnya tidak lari untuk memperkatakan yang media ini bersifat konvensional (kebiasaan) berbanding ia diperhalusi pada sifat Islamik. Sebab itulah, untuk santapan minda anda, penulis membawakan ‘simbiosis’ media yang dilihat berlainan pendekatan, ciri, sumber, kandungan mahupun sasaran. Jangan salah anggap pada maksud simbiosis itu sendiri, kerana dipakai hanya sebagai analogi penulis pada kali ini. Mungkin ada yang sudah khatam memahami konsep ini, mungkin ada yang mahu berkongsi sesuatu bersama penulis sendiri. Simbiosis media yang dimaksudkan, media konvensional dan media Islam. Sebelum mengembara dari satu polemik ke polemik yang lain mengenai simbiosis tersebut, lebih manis jikalau kita memahami media konvensional dan media Islam terlebih dahulu dalam perbincangan kali ini.


Media ini adalah media kebiasaan yang digunakan dalam arus perdana dan kiranya juga kita boleh sebut sebagai media barat, media yang secara lahiriahnya, datang dari negara orang berkulit putih. Media Islam pula pada sudut kefahaman manusia, ia sebenarnya tidaklah wujud secara total. Ini kerana, media ini tidak termaktub dalam pena sejarah. Cuma ia disedari wujud secara tidak langsung iaitu melalui komunikasi lama, seperti penyampaian khutbah, pendeklamasian syair , sajak dan puisi, pembacaan kitab dan sebagainya pada zaman kenabian bermula. Dari sudut pendekatan, kedua-dua media wujud dalam kotak kehidupan manusia melalui dunia media elektronik, media cetak dan media baru. Walaubagaimanapun, ia berbeza melalui sumber yang digunapakai dalam memacu kandugan media tersebut. Media konvensional bersumberkan sebarang petunjuk tanpa sekatan bukti dan kebebasan sumber yang diterimapakai. Berlainan media Islam, sudah tentu kiblat utama rujukan media ini adalah Al-Quran dan Hadis. Media ini berlandaskan dua sumber utama yang digunapakai oleh kita sendiri sebagai ahli kepada kepaksian agama yang kita sanjungi selama ini.

 


‘Simbiosis’ media juga tidak dapat tidak untuk terlanjur berbicara mengenai media baru, sedar atau tidak, kita disogokkan dengan pelbagai bentuk media yang mampu mengubah atau menginjak pemikiran manusia dewasa ini ke pelbagai tujuan. Terkadang wujudnya informasi-informasi baru yang kita tidah tahu dari mana datangnya sumber itu, terkadang juga wujudnya beberapa provokasi dalam menjatuhkan reputasi, kedudukan dan nama seseorang dek perihal dunia yang mempunyai pelbagai kancah seperti politik, perbezaan fahaman dan sebagainya. Terkadang juga wujud anasir-anasir yang tidak diketahui berpunca dari mana yang mencipta dakyah-dakyah tersendiri sehinggakan mampu mempengaruhi minda manusia yang tersedia tercemar. Ini yang dikatakan, simbiosis media atau kedua-dua spesies media berlainan mazhab yang kelam dari segi tujuan sebenar dan sasaran yang betul sesuatu media dikembangkan. Ditambah pula dengan kewujudan adrenalin blogger melalui dunia blog yang begitu pesat meresap di jiwa pencinta alam maya menguatkan lagi kemaraan Dunia Baru yang tidak akan ada kesudahannya.




Pada hemat penulis, banyak lagi yang ingin diperkatakan mengenai simbiosis ini. Tidak cukup untuk kita berbicara di dalam entri ini sahaja, ia meliputi rangkuman meluas dari segenap sudut perbincagan ilmiah. Cukuplah sekadar, anda dapat membezakan simbiosis tersebut. Mungkin ada penambahan maklumat, isi dan pandangan, penulis insan yang tentunya kerdil di sisi Maha Esa, tidak dapat untuk penulis lari dari melakukan kekhilafan,mengalu-alukan segala komentar, nasihat, penambahbaikan serta pembetulan yang mungkin kita jadikan sebagai wadah perkongsian yang mungkin dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana.