Thursday, 10 May 2012

Damai Lukisan Alam














Damai yang dirasa
Melihat warnanya
Tenangnya di mindaku
Suasana kehijauan yang indah

Kicauan berburung rimba
Berterbangan bebas di dalam rimba raya
Pepohon turut berlagu
Menerima sentuhannya sinaran sang mentari hari

Oh... di alam rimba damai dirasa
Segala-galanya terlukis sempurna
Di alam rimba keajaibannya
Pesona di jiwa

Di rimba tiada
Derita, sengketa
Tiada kudengari
Tangisan sepi yang mengguris hati

Sang pelangi ceria
Menanti kehadirannya gerimis senja
Bisikan tersirat air
Turut sama menghiasi
Keindahan ciptaan Ilahi


Tentu anda pernah memasang halwa telinga anda dengan lagu DAMAI yang dinukilkan untuk NOWSEEHEART ini?pernah atau tidak anda menghayati lirik indah seperti ini?penulis terpanggil untuk menyingkap sebuah lirik indah yang datang dari naskhah yang mampu mengajak kita menghayati betapa indahnya alam yang dicipta Sang Pencipta Yang Maha Esa ini. Walaupun lagu tersebut hanya berkisar tentang alam rimba namun, 'keindahan' alam itu boleh dikategorikan sama dengan alam ciptaan Allah yang lain tidak kira alam lautan, langit, bumi, gunung dan sebagainya.


Tidak kira di alam rimba, sinaran sang mentari, lautan berderu bersama ombak dan badai, pelangi yang mewarnakan dunia, bumi hijau yang sentiasa menerangi alam, langit luas terbentang bak lukisan, air hujan yang mencurah umpama meruntun perasaan manusia dan sebagainya bagai terlukis sempurna dengan damai yang tidak pernah lenyap dalam pandangan majazi ini.

Sebagai manusia, tiada apa yang kita mampu persoalkan kehebatan dan keagungan Allah S.W.T dalam 'melukis', 'menukil', mencipta alam ini dengan penuh keindahan, kecantikan, penuh warna dan warni, penuh makna tersurat dan tersirat keajaiban dari-Nya.

tidakkah kita dapat merasa ketenangan, ketenteraman, aman dan tentunya damai di hati melihat LUKISAN ALAM ini?Hilang segala derita, sengketa, masalah, marah, dendam, iri hati tatkala alam ini dihayati dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Kesedihan dan tangisan yang kita alami kadang-kadang akan surut apabila kita merenung, melihat, bersaksikan seluruh isi alam ini yang penuh dengan corakan dan 'kesenian'. 

Sama-samalah kita bersama menghayati, mendalami perasaan dan diri kita ini dengan sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi Allah secara percuma tanpa bayaran sesen pun ini. SUBHANALLAH, DAMAI SUNGGUH HATI TATKALA PANDANGAN TERPANA PADA LUKISAN ALAM. Wassalam. 




Tuesday, 8 May 2012

Warisan bangsa, Permata Agama

Kanak-kanak (juga digelarkan budak atau anak kecil) ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai tahap kematangan dalam berfikir. Penulis mahu memanifestasikan bahawa seorang kanak-kanak itu adalah yang istimewa bagi insan yang bergelar ibu, ayah, guru, abang, kakak dan seluruh insani yakni yang menghuni dunia yang luas ini. Kanak-kanak atau anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang dikurniakan pada manusia untuk membentuk supaya boleh dibentuk, untuk membimbing supaya dapat dibimbing, dilentur, dididik dan diajar supaya tidak menjadi kurang diajar.







Makanya, asas bimbingan itu adalah bermula dari orang yang bergelar dewasa yang mana orang dewasa ini sentiasa menjadi ikutan, acuan dan contoh kepada kanak-kanak itu sendiri. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi orang dewasa.




Kanak-kanak ini umpama kain putih yang sukar kita temui tompokan hitam yakni sebarang kotoran. Mereka bersih, walau terkadang nakal tetapi tetap terpelihara dosanya sebelum dia melangkah ke alam remaja seterusnya dewasa. Sebab itulah, lumrah manusia, mereka akan suka kepada kanak-kanak, paling kurang sekalipun, mengambil berat tentang mereka kerana manusia lain tahu bahawa kanak-kanak inilah yang akan menjadi warisan bangsa, permata yang berharga buat Agama dan negara mereka seperti manusia seadanya.


Warisan inilah yang perlu dititikberatkan dari awal kerana proses pembesaran mereka merupakan proses yang amat merumitkan. Bukan senang membentuk mereka ke arah yang kita inginkan, menjadikan mereka apa yang dikehendaki oleh kita sendiri dan lebih bertuah jikalau mereka menjadi apa yang dicita-citakan oleh kita sendiri. Mereka juga ibarat permata yang wajib digilap menjadi permata yang disegani, dihormati, disanjungi dek kerana ilmu mereka, sumbangan, hasil kajian dan mungkin ketokohan yang ditonjolkan mereka suatu hari nanti. Merekalah yang akan menggantikan tokoh-tokoh, ulama'-ulama', negarawan, sasterawan negara sedia ada dengan keunggulan ilmu, kehebatan bakat serta kepandaian akal fikiran mereka jika diserap dan dicerap dengan baik.


Walau terdapatnya masalah-masalah yang tertimbul kerana menempatkan kanak-kanak ke dalam aliran tertentu pada peringkat yang "terlalu" awal, telah dianggapi bahawa pembunuhan kanak-kanak, pembuangan kanak-kanak, penggunaan kanak-kanak untuk angkatan bersenjata, serta penyakit masyarakat yang lain telah dikurangkan dengan penggunaan pendekatan pembangunan manusia, negara kini memberikan nilai hidup yang tinggi kepada kanak-kanak.




Begitulah insan yang bergelar kanak-kanak, tidak pernah lari dari pengharapan dan impian setiap manusia dewasa untuk melihat mereka membesar dengan secara sihat, dalam keadaan baik dan sudah tentu menjadi orang yang berguna satu hari nanti. Merekalah orang yang disebut-sebut mampu menjadi insan impian, insan dambaan bagi manusia yang sentiasa mengharapkan visi ke arah itu. Sudah tentu menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat mereka kelak, mampu membuat satu sumbangan yang diingati sampai ke akhir hayat mereka kerana mereka adalah WARISAN BANGSA PERMATA AGAMA.