Tuesday 8 May 2012

Warisan bangsa, Permata Agama

Kanak-kanak (juga digelarkan budak atau anak kecil) ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai tahap kematangan dalam berfikir. Penulis mahu memanifestasikan bahawa seorang kanak-kanak itu adalah yang istimewa bagi insan yang bergelar ibu, ayah, guru, abang, kakak dan seluruh insani yakni yang menghuni dunia yang luas ini. Kanak-kanak atau anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang dikurniakan pada manusia untuk membentuk supaya boleh dibentuk, untuk membimbing supaya dapat dibimbing, dilentur, dididik dan diajar supaya tidak menjadi kurang diajar.







Makanya, asas bimbingan itu adalah bermula dari orang yang bergelar dewasa yang mana orang dewasa ini sentiasa menjadi ikutan, acuan dan contoh kepada kanak-kanak itu sendiri. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi orang dewasa.




Kanak-kanak ini umpama kain putih yang sukar kita temui tompokan hitam yakni sebarang kotoran. Mereka bersih, walau terkadang nakal tetapi tetap terpelihara dosanya sebelum dia melangkah ke alam remaja seterusnya dewasa. Sebab itulah, lumrah manusia, mereka akan suka kepada kanak-kanak, paling kurang sekalipun, mengambil berat tentang mereka kerana manusia lain tahu bahawa kanak-kanak inilah yang akan menjadi warisan bangsa, permata yang berharga buat Agama dan negara mereka seperti manusia seadanya.


Warisan inilah yang perlu dititikberatkan dari awal kerana proses pembesaran mereka merupakan proses yang amat merumitkan. Bukan senang membentuk mereka ke arah yang kita inginkan, menjadikan mereka apa yang dikehendaki oleh kita sendiri dan lebih bertuah jikalau mereka menjadi apa yang dicita-citakan oleh kita sendiri. Mereka juga ibarat permata yang wajib digilap menjadi permata yang disegani, dihormati, disanjungi dek kerana ilmu mereka, sumbangan, hasil kajian dan mungkin ketokohan yang ditonjolkan mereka suatu hari nanti. Merekalah yang akan menggantikan tokoh-tokoh, ulama'-ulama', negarawan, sasterawan negara sedia ada dengan keunggulan ilmu, kehebatan bakat serta kepandaian akal fikiran mereka jika diserap dan dicerap dengan baik.


Walau terdapatnya masalah-masalah yang tertimbul kerana menempatkan kanak-kanak ke dalam aliran tertentu pada peringkat yang "terlalu" awal, telah dianggapi bahawa pembunuhan kanak-kanak, pembuangan kanak-kanak, penggunaan kanak-kanak untuk angkatan bersenjata, serta penyakit masyarakat yang lain telah dikurangkan dengan penggunaan pendekatan pembangunan manusia, negara kini memberikan nilai hidup yang tinggi kepada kanak-kanak.




Begitulah insan yang bergelar kanak-kanak, tidak pernah lari dari pengharapan dan impian setiap manusia dewasa untuk melihat mereka membesar dengan secara sihat, dalam keadaan baik dan sudah tentu menjadi orang yang berguna satu hari nanti. Merekalah orang yang disebut-sebut mampu menjadi insan impian, insan dambaan bagi manusia yang sentiasa mengharapkan visi ke arah itu. Sudah tentu menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat mereka kelak, mampu membuat satu sumbangan yang diingati sampai ke akhir hayat mereka kerana mereka adalah WARISAN BANGSA PERMATA AGAMA.