Saturday 12 May 2012

Teman, Kawan dan Sahabat

Teman, Kawan, Sahabat, rakan, kenalan dan sebagainya merupakan terminologi yang sama digunakan kepada seseorang yang berada bersama kita, atau bahasa mudahnya berada di sekeliling kita. Mereka merupakan insan yang sentiasa berada dalam kehidupan manusia walau manusia itu sering berubah tempat, waktu dan masa. Kerana walau di mana sahaja manusia berada, seorang rakan, sahabat, teman tidak perbah lekang dalam  ruang legar keduniaan manusia. 



Cumanya, mencari kenalan untuk bergembira memang suatu proses yang amat mudah, mereka mudah berdampingan dengan kita, mereka adalah orang paling 'setia' bersama kita, namun mencari makna sahabat atau rakan yang sejati, bukan proses yang mudah, perlu diperhalusi secara mendalam, dan perlu difikirkan apakah sahabat itu mampu bersama kita ketika susah dan senang.


Rakan atau kawan yang baik sentiasa memberi dorongan dan nasihat kepada kita, berada di legasi kehidupan kita walau waktu sukar, menolong apa yang termampu tetapi bukanlah memperhambakan atau memperjudikan kehidupan mereka sepenuhnya bersama kita, tetapi mereka inilah tempat untuk mengadu masalah, segala kedukaan, segala keresahan yang mungkin mampu dirungkaikan oleh mereka yang bergelar sahabat ini. Walaubagaimanapun, mereka tidaklah memberi komitmen 100% kepada diri kita kerana mereka juga manusia seperti manusia lain yang mempunyai kehidupan yang perlu dititikberatkan. 



Apapun tanggapan kita pada seorang rakan, dia tetap seorang sahabat yang berada dekat dengan kita, mereka sentiasa dalam pemerhatian kita, sentiasa 'wujud' dalam Firma Kehidupan manusia sehingga akhir nyawanya kerana mereka adalah TEMAN, KAWAN dan SAHABAT...





Friday 11 May 2012

MAKKAH, MADINAH: Al-Bait Al-Quds, Al-Bait Al-Idaman


Rasanya dua destinasi inilah menjadi titik tolak kepada seluruh umat Islam di dunia hendaknya. Destinasi yang sentiasa menjadi pilihan utama rakyat seagama kita, MAKKAH dan MADINAH. Nama pun sudah cukup membuatkan kita teruja, berkobar-kobar untuk ke sana. Bagi yang masih belum menjejakkan kaki ke sana, tentu mengharapkan sinar keizinan Allah untuk mereka pergi walau sekali. Bagi yang sudah pergi, semestinya, perkataan “Hendak pergi lagi” pasti ada dalam benak fikiran dan otak kepala.


Segala puji bagi Allah Yang Maha Memberi lagi Maha Kaya, tiada Tuhan selain Dia. Dia yang menjadikan Makkah sebagai Baitul Haram, sebuah tempat yang paling mulia.Makkah Al-Mukkarramah adalah sebuah negeri yang dipilih Allah sebagai tempat bagi Bait-Nya. Oleh karena itu, Dia menyucikan dan menjadikannya sebagai tanah suci yang damai, melipatgandakan amal kebajikan yang dikerjakan di sana, serta menjadikannya sebagai masjid dan kiblat dunia. Rasulullah SAW bersabda " Satu kali solat di masjidku ini lebih baik darpada seribu kali solat di masjid-masjid yang lain,kecuali Masjidil Haram.Sedangkan satu kali solat di Masjidil Haram itu lebih utama dari pada seratus ribu kali solat di tempat lain. 



Allah SWT berfirman :
Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (diantaranya) maqam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengejakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa menginkari kewajiban haji, maka sesungguhnya Allah Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (QS. Alu 'Imran: 96,97) 



Madinah atau nama penuhnya Madinah al-Munawwarah juga salah sebuah kota idaman yang terdapat di wilayah Hijaz, Arab Saudi. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepadaMadinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah (Kota yang bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud "bandar/kota".


Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid An-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad S.A.W. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan oleh Khalifah Al Walid Ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Umayyah.


Jadikan destinasi percutian anda atau destinasi bulan madu anda adalah MAKKAH dan MADINAH kerana ia adalah BAIT AL-QUDS, BAIT AL-IDAMAN.


Thursday 10 May 2012

Damai Lukisan Alam














Damai yang dirasa
Melihat warnanya
Tenangnya di mindaku
Suasana kehijauan yang indah

Kicauan berburung rimba
Berterbangan bebas di dalam rimba raya
Pepohon turut berlagu
Menerima sentuhannya sinaran sang mentari hari

Oh... di alam rimba damai dirasa
Segala-galanya terlukis sempurna
Di alam rimba keajaibannya
Pesona di jiwa

Di rimba tiada
Derita, sengketa
Tiada kudengari
Tangisan sepi yang mengguris hati

Sang pelangi ceria
Menanti kehadirannya gerimis senja
Bisikan tersirat air
Turut sama menghiasi
Keindahan ciptaan Ilahi


Tentu anda pernah memasang halwa telinga anda dengan lagu DAMAI yang dinukilkan untuk NOWSEEHEART ini?pernah atau tidak anda menghayati lirik indah seperti ini?penulis terpanggil untuk menyingkap sebuah lirik indah yang datang dari naskhah yang mampu mengajak kita menghayati betapa indahnya alam yang dicipta Sang Pencipta Yang Maha Esa ini. Walaupun lagu tersebut hanya berkisar tentang alam rimba namun, 'keindahan' alam itu boleh dikategorikan sama dengan alam ciptaan Allah yang lain tidak kira alam lautan, langit, bumi, gunung dan sebagainya.


Tidak kira di alam rimba, sinaran sang mentari, lautan berderu bersama ombak dan badai, pelangi yang mewarnakan dunia, bumi hijau yang sentiasa menerangi alam, langit luas terbentang bak lukisan, air hujan yang mencurah umpama meruntun perasaan manusia dan sebagainya bagai terlukis sempurna dengan damai yang tidak pernah lenyap dalam pandangan majazi ini.

Sebagai manusia, tiada apa yang kita mampu persoalkan kehebatan dan keagungan Allah S.W.T dalam 'melukis', 'menukil', mencipta alam ini dengan penuh keindahan, kecantikan, penuh warna dan warni, penuh makna tersurat dan tersirat keajaiban dari-Nya.

tidakkah kita dapat merasa ketenangan, ketenteraman, aman dan tentunya damai di hati melihat LUKISAN ALAM ini?Hilang segala derita, sengketa, masalah, marah, dendam, iri hati tatkala alam ini dihayati dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Kesedihan dan tangisan yang kita alami kadang-kadang akan surut apabila kita merenung, melihat, bersaksikan seluruh isi alam ini yang penuh dengan corakan dan 'kesenian'. 

Sama-samalah kita bersama menghayati, mendalami perasaan dan diri kita ini dengan sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi Allah secara percuma tanpa bayaran sesen pun ini. SUBHANALLAH, DAMAI SUNGGUH HATI TATKALA PANDANGAN TERPANA PADA LUKISAN ALAM. Wassalam. 




Tuesday 8 May 2012

Warisan bangsa, Permata Agama

Kanak-kanak (juga digelarkan budak atau anak kecil) ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai tahap kematangan dalam berfikir. Penulis mahu memanifestasikan bahawa seorang kanak-kanak itu adalah yang istimewa bagi insan yang bergelar ibu, ayah, guru, abang, kakak dan seluruh insani yakni yang menghuni dunia yang luas ini. Kanak-kanak atau anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang dikurniakan pada manusia untuk membentuk supaya boleh dibentuk, untuk membimbing supaya dapat dibimbing, dilentur, dididik dan diajar supaya tidak menjadi kurang diajar.







Makanya, asas bimbingan itu adalah bermula dari orang yang bergelar dewasa yang mana orang dewasa ini sentiasa menjadi ikutan, acuan dan contoh kepada kanak-kanak itu sendiri. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi orang dewasa.




Kanak-kanak ini umpama kain putih yang sukar kita temui tompokan hitam yakni sebarang kotoran. Mereka bersih, walau terkadang nakal tetapi tetap terpelihara dosanya sebelum dia melangkah ke alam remaja seterusnya dewasa. Sebab itulah, lumrah manusia, mereka akan suka kepada kanak-kanak, paling kurang sekalipun, mengambil berat tentang mereka kerana manusia lain tahu bahawa kanak-kanak inilah yang akan menjadi warisan bangsa, permata yang berharga buat Agama dan negara mereka seperti manusia seadanya.


Warisan inilah yang perlu dititikberatkan dari awal kerana proses pembesaran mereka merupakan proses yang amat merumitkan. Bukan senang membentuk mereka ke arah yang kita inginkan, menjadikan mereka apa yang dikehendaki oleh kita sendiri dan lebih bertuah jikalau mereka menjadi apa yang dicita-citakan oleh kita sendiri. Mereka juga ibarat permata yang wajib digilap menjadi permata yang disegani, dihormati, disanjungi dek kerana ilmu mereka, sumbangan, hasil kajian dan mungkin ketokohan yang ditonjolkan mereka suatu hari nanti. Merekalah yang akan menggantikan tokoh-tokoh, ulama'-ulama', negarawan, sasterawan negara sedia ada dengan keunggulan ilmu, kehebatan bakat serta kepandaian akal fikiran mereka jika diserap dan dicerap dengan baik.


Walau terdapatnya masalah-masalah yang tertimbul kerana menempatkan kanak-kanak ke dalam aliran tertentu pada peringkat yang "terlalu" awal, telah dianggapi bahawa pembunuhan kanak-kanak, pembuangan kanak-kanak, penggunaan kanak-kanak untuk angkatan bersenjata, serta penyakit masyarakat yang lain telah dikurangkan dengan penggunaan pendekatan pembangunan manusia, negara kini memberikan nilai hidup yang tinggi kepada kanak-kanak.




Begitulah insan yang bergelar kanak-kanak, tidak pernah lari dari pengharapan dan impian setiap manusia dewasa untuk melihat mereka membesar dengan secara sihat, dalam keadaan baik dan sudah tentu menjadi orang yang berguna satu hari nanti. Merekalah orang yang disebut-sebut mampu menjadi insan impian, insan dambaan bagi manusia yang sentiasa mengharapkan visi ke arah itu. Sudah tentu menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat mereka kelak, mampu membuat satu sumbangan yang diingati sampai ke akhir hayat mereka kerana mereka adalah WARISAN BANGSA PERMATA AGAMA.





Monday 7 May 2012

OOPSS, KHILAF TAIP...

Dalam dunia ini, manusia seperti kita tidak mampu untuk lari dari melakukan kesalahan, tidak kiralah kesalahan itu datang dari perbuatan mereka sendiri ataupun melalui perkataan yang dizahirkan melalui penulisan, ruang tanda, khidmat pesanan ringkas, walaupun apabila kita menaip dalam sesuatu perkara. Samada, di akhbar, papan tanda, dalam telefon, penerbitan buku, majalah dan sebagainya, kesalahan ejaan ataupun typo tidak dapat tidak untuk kita elak dari melakukannya. Tidak banyak, hatta sedikit pun ia dikira terkhilaf sesuatu ejaan atau penaipan. Di sini, penulis sertakan beberapa gambar kesalahan atau kekhilafan ejaan yang sempat penulis lihat dan perasan.

  

Ini merupakan kesalahan pertama penulis dapat yang mana kesalahan di atas dijumpai sekitar Jalan Pekan Nilai. Tidak pernah rasanya penulis mendengar atau melihat perkataan POLISE, melainkan POLIS, iaitu anggota keselamatan dan keamanan di Malaysia. Boleh jadi si pemilik car wash ini menawarkan perkhidmatan CAR POLISH atau menggilap kereta.



Satu lagi kesalahan yang dijumpai di sekitar kawasan tempat tinggal penulis iaitu di kawasan Labu, Seremban. Penulis tidak pasti samada, pemilik gerai mempunyai bahasa tersendiri dalam menafsir sesuatu makanan. Jelas kelihatan perkataan KUII itu, patut dibetulkan kepada KUIH.


Juga dijumpai di Pekan Nilai. Ejaan yang sepatutnya pada perkataan PERABUT di atas adalah PERABOT, mengikut ejaan yang betul di dalam Kamus Dewan yang termaktub.


Sudah terang lagi bersuluh, tetapi apakan daya, wartawan juga tidak dapat lari untuk melakukan kesalahan dalam penaipan. Tidak mungkin ayat peniaga di atas sesuai dengan KECURIAN tersebut yang sepatutnya digantikan kepada KERUGIAN.


Kesalahan ejaan di atas dilaporkan di kawasan Kampung Bukit Kadir, Nilai yang mana merupakan kawasan masjid kampung tersebut. Dalam perkataan arab perkataan yang selalu digunakan untuk menunjukkan masjid di sesuatu kampung di panggil Qaryah. Berlainan maksudnya apabila kampung yang dipindah bahasa kepada bahasa Arab adalah KHARIAH, yang tidak membawa maksud sebenar.

Inilah lima Typo atau kesalahan ejaan yang sempat penulis rakamkan, prihatinkan dan titikberatkan. Banyak lagi sebenarnya kesalahan yang penulis jumpa dan perasan, yang mungkin penulis akan 'mendedahkannya' di masa yang akan datang. Tidak kiralah kesalahan itu datang dari papan tanda, sesuatu produk, penulisan majalah, akhbar, penulisan buku dan sebagainya. Apa yang penting, kita adalah manusia biasa tidak pernah lari dari MEMBUAT KESALAHAN lagi-lagi kesalahan itu datang dari perkara yang kita tidak pernah jangka seperti 'kekhilafan' di atas, walau hanya KHILAF TAIP.  







Tuesday 24 April 2012

Simbiosis Media








Bercakap mengenai media, kita sebenarnya tidak lari untuk memperkatakan yang media ini bersifat konvensional (kebiasaan) berbanding ia diperhalusi pada sifat Islamik. Sebab itulah, untuk santapan minda anda, penulis membawakan ‘simbiosis’ media yang dilihat berlainan pendekatan, ciri, sumber, kandungan mahupun sasaran. Jangan salah anggap pada maksud simbiosis itu sendiri, kerana dipakai hanya sebagai analogi penulis pada kali ini. Mungkin ada yang sudah khatam memahami konsep ini, mungkin ada yang mahu berkongsi sesuatu bersama penulis sendiri. Simbiosis media yang dimaksudkan, media konvensional dan media Islam. Sebelum mengembara dari satu polemik ke polemik yang lain mengenai simbiosis tersebut, lebih manis jikalau kita memahami media konvensional dan media Islam terlebih dahulu dalam perbincangan kali ini.


Media ini adalah media kebiasaan yang digunakan dalam arus perdana dan kiranya juga kita boleh sebut sebagai media barat, media yang secara lahiriahnya, datang dari negara orang berkulit putih. Media Islam pula pada sudut kefahaman manusia, ia sebenarnya tidaklah wujud secara total. Ini kerana, media ini tidak termaktub dalam pena sejarah. Cuma ia disedari wujud secara tidak langsung iaitu melalui komunikasi lama, seperti penyampaian khutbah, pendeklamasian syair , sajak dan puisi, pembacaan kitab dan sebagainya pada zaman kenabian bermula. Dari sudut pendekatan, kedua-dua media wujud dalam kotak kehidupan manusia melalui dunia media elektronik, media cetak dan media baru. Walaubagaimanapun, ia berbeza melalui sumber yang digunapakai dalam memacu kandugan media tersebut. Media konvensional bersumberkan sebarang petunjuk tanpa sekatan bukti dan kebebasan sumber yang diterimapakai. Berlainan media Islam, sudah tentu kiblat utama rujukan media ini adalah Al-Quran dan Hadis. Media ini berlandaskan dua sumber utama yang digunapakai oleh kita sendiri sebagai ahli kepada kepaksian agama yang kita sanjungi selama ini.

 


‘Simbiosis’ media juga tidak dapat tidak untuk terlanjur berbicara mengenai media baru, sedar atau tidak, kita disogokkan dengan pelbagai bentuk media yang mampu mengubah atau menginjak pemikiran manusia dewasa ini ke pelbagai tujuan. Terkadang wujudnya informasi-informasi baru yang kita tidah tahu dari mana datangnya sumber itu, terkadang juga wujudnya beberapa provokasi dalam menjatuhkan reputasi, kedudukan dan nama seseorang dek perihal dunia yang mempunyai pelbagai kancah seperti politik, perbezaan fahaman dan sebagainya. Terkadang juga wujud anasir-anasir yang tidak diketahui berpunca dari mana yang mencipta dakyah-dakyah tersendiri sehinggakan mampu mempengaruhi minda manusia yang tersedia tercemar. Ini yang dikatakan, simbiosis media atau kedua-dua spesies media berlainan mazhab yang kelam dari segi tujuan sebenar dan sasaran yang betul sesuatu media dikembangkan. Ditambah pula dengan kewujudan adrenalin blogger melalui dunia blog yang begitu pesat meresap di jiwa pencinta alam maya menguatkan lagi kemaraan Dunia Baru yang tidak akan ada kesudahannya.




Pada hemat penulis, banyak lagi yang ingin diperkatakan mengenai simbiosis ini. Tidak cukup untuk kita berbicara di dalam entri ini sahaja, ia meliputi rangkuman meluas dari segenap sudut perbincagan ilmiah. Cukuplah sekadar, anda dapat membezakan simbiosis tersebut. Mungkin ada penambahan maklumat, isi dan pandangan, penulis insan yang tentunya kerdil di sisi Maha Esa, tidak dapat untuk penulis lari dari melakukan kekhilafan,mengalu-alukan segala komentar, nasihat, penambahbaikan serta pembetulan yang mungkin kita jadikan sebagai wadah perkongsian yang mungkin dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana.














































 
 












































Monday 9 April 2012

DESTINASI kehidupan



Dalam kita melestarikan kehidupan dunia dambaan, pastinya banyak ranjau dan onak duri perlu kita tempuhi.

Dalam kita menyusuri laluan getir pengharapan, terdetik sayup kealpaan dek tenggelam nafsu duniawi,

Dalam kita mencari erti ketenangan, tertusuk seribu satu kejahilan hati,

Dalam kita menterjemah rahsia kehidupan, namun mencari sebutir hakikat tidak menjanjikan wadah yang dicari,

Dalam kita meletakkan kendati masa hadapan, tersingkap kabur alpa mengaburi destinasi,


Destinasi...satu tujuan arah yang tiada penghujungnya, senantiasa menjadi cita dan pengharapan

Destinasi...sebenarnya terlalu hampir, tapi terhalang dek dosa bergemerlapan

Destinasi...rasailah petualang kekecewaan, kesakitan, kegembiraan, ketakutan, kegelapan

Destinasi...memacu kesabaran, ketenangan, ketabahan, ketenteraman dan keluhuran

Destinasi...mencipta dimensi melerai nafsu untuk keimanan


Kehidupan, yakni satu pancaroba menjadi sahutan manusia sang khalifah

Kehidupan, teras pelaksanaan merentasi ramuan segenap wadah

Kehidupan, menjanjikan kebahagiaan namun tak mampu meleraikan padah

Kehidupan, merasuk jiwa, segenap hati dan segumpal darah

Kehidupan, sasaran sang marhaen yang tiada sudah

Kehidupan, lantas destinasi jua tidak mampu diredah

Kehidupan, destinasi tidak akan merekah...  


Nukilan: khalifah Arjuna

Tuesday 3 April 2012

ALAM MERGASTUA: menuju pupus



Di sebalik kehidupan manusia, wujudnya juga ciptaan Allah yang masih belum kita khatam lagi iaitu mengenai sisi lain "kehidupan makhluk tumpangan dunia". Bukan setakat manusia menjadi penghuni kekal dunia, MERGASTUA juga antara makhluk yang sering menjadi peneman setia kepada manusia. Warga MERGASTUA yang tinggal di alam ini dengan pelbagai jenis termasuk unggas yang berterbangan menjadikan dunia penuh dengan kehidupan yang pelbagai dan seakan mencorakkannya dengan variasi "makhluk bernafas".


Sebut sahaja daratan, lautan mahupun udara, MERGASTUA sentiasa mengelilingi manusia dengan harapan menjadi "penyejuk mata yang memandang". Namun, tanpa disedari, MERGASTUA yang menjadi teman sejati manusia ini seakan diancam "virus kehilangan" atau "sindrom kepupusan". Dimanakah hilangnya "mereka"?apakah sebab utama "mereka" tiada dalam pandangan? Tiada kemungkinan melainkan kepastian. MERGASTUA sering menjadi sasaran utama manusia berburu. Aktiviti ini seakan mengancam kehidupan "tiada noda" hidupan-hidupan ini. Manusia menginginkan "kecantikan" dunia, dengan mendapatkan MERGASTUA ini atas tujuan kepentingan yang sentiasa merajai hati manusia yang hilang seri keperimanusiaan.  Apa lagi yang mahu dikejar, barang-barang buatan dari "jasad" mereka, seakan merentap "kebahagiaan" kehidupan MERGASTUA ini. Selain, mengeksploitasi "mereka" dengan menjadikan MERGASTUA ini boneka, "badut" kepada kehidupan kita yang bernama manusia, seolah-olah menjadi "suruhan" pada aktiviti manusia yang tiada pengakhiran.

   
Walau wujud usaha "melayani" mereka di dunia zoo, namun ia tidak mencakupi kepada pemuliharaan secara total ALAM MERGASTUA ini. Hilang perlindungan mereka dengan punah hutan simpan yang sekan tinggal pada nama sahaja. Mana belantara-belantara yang menjadi pembela mereka?jawapan yang pasti, TIADA. Cuba kita, manusia memasuki alam mereka, menyelami 'penderitaan' yang "mereka" alami. Tiada lain yang "mereka" tuntut melainkan HAK KEBEBASAN seumpama manusia yang tidak pernah berhenti memperjuangkan erti "merdeka daripada segalanya".
Seharusnya, agen manusia adalah agen penyelamat kepada MERGASTUA yang kita kagumi kerana tiada mereka, maka hilanglah seri dunia, punahlah hiasan dunia,
MERGASTUA...lambang kehidupan apresiasi manusia
MERGASTUA...hidangan pancaindera manusia
MERGASTUA...pelosok dunia mahupun Malaysia
MERGASTUA...usai manusia seiring usia....
SELAMATKANLAH ALAM MERGASTUA...



 

Tuesday 20 March 2012

MANUSIA: agen MEMBERI, agen MERASA

Seringkali kita mendengar pepatah berkata, 'ORANG MEMBERI, KITA MERASA'. Pepatah yang sering digunakan masyarakat Melayu khususnya, yang kaya dengan nilai bahasa yang tinggi. Tapi pernahkah kita terfikir bahawa manusia sebenarnya bukan sahaja menjadi agen pemberi sahaja, malah manusia juga adalah agen perasa. tentu ramai ada yang masih terkial sementelah penulis bawakan entri terbaru ini. Bukan apa, manusia sering menyalah anggap penggunaan pepatah yang kadang-kadang membingungkan kita. Ini pengalaman yang dialami penulis sendiri yang mana, pernah seketika, ketika penulis pergi ke satu warung di kampung kelahiran penulis sendiri untuk memesan roti canai, terdengar perbualan antara pak cik A dan pak cik B, yang mana mereka sedang rancak berbual mengenai wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Pak cik A mendapat RM500, manakala pak cik yang satu lagi perlu membuat rayuan. Hendak dijadikan satu cerita (walaupun tidak menarik), pak cik A gembira yang teramat apabila dapat habuan RM500, manakala pak cik B mengeluh dan dengan nada kesal mempertikaikan keputusan kerajaan dalam menentukan bantuan kepada rakyat. 


 Dari segi pendapatan, pak cik A lebih jauh tinggi berbanding pak cik B yang pendapatannya hanya sekadar untuk bernafas sahaja. Berikut merupakan sedikit perbualan yang sempat penulis ingat
Pak cik A:  sudah diberi kerajaan, takkan mahu menolak, KERAJAAN MEMBERI, KITA MERASA dengan nadanya begitu bangga sekali. 
Pak cik B: kalau kerajaan memberi, kenapa tidak kepada semua, kenapa ada yang dapat, ada yang tidak dapat?kenapa perlu sampai membuat rayuan.
Pak cik A: kadang-kadang kita kena sedar juga, takkan semua kita nak merasa, tiada satu sumbangan dan jasa pun kita beri pada negara. 
Pak cik B: ai, kenapa pulak?mentang-mentang kau dapat, bolehlah kata begitu. Sepatutnya, kerajaan membantu semua rakyat sebab itu semua duit rakyat, bukan duit diorang. Mana slogan mereka, RAKYAT DIDAHULUKAN?
Pak cik A: tahu mengeluh je kau tahu. Mungkin ada sebab kerajaan menolak permohonan kau. kita tak semestinya menanti apa yang diberi, kadang-kadang kita juga patut memberi, dengan apa?dengan sokongan dan sebagainya. Kalau kita hendak merasa, sampai bila?
Pak cik B: (dengan nada reda), malas aku nak berbalah dengan kau, aku cuma tidak puas hati kenapa perlu aku membuat rayuan. kalau difikirkan kembali, kita sudah lama memberi, memberi apa, MEMBERI MUKA kepada kerajaan dan juga MEMBERI mereka PELUANG untuk memenangi hati rakyat.
Pak cik A: tak mampu berkata apa...


 



Dapat juga kita simpulkan di sini, dalam kehidupan ini, kita bukan setakat menjadi agen PEMBERI, malah kita juga adalah agen PERASA, tidak hanya menunding jari kepada sesiapa, tetapi hanya merenung, kenapa tidak kita memberi terlebih dahulu, sebelum kita merasa, kerana lambat laun kita juga akan dapat merasa apabila diberi oleh orang lain, tidak kiralah wang, pakaian, harta-benda dan macam-macam lagi. berkenaan dengan insiden di atas, saya tidak berkata pihak ini betul, pihak ini salah. Betul juga apa yang dikatakan oleh pak cik B, kita sudah lama MEMBERI peluang dan muka pada kerajaan sehinggakan kerajaan TIDAK PERNAH MERASA kepahitan yang dialami rakyat. Boleh jadi juga betul apa yang dikatakan oleh Pak cik A, selama yang DIBERI kerajaan, pernah rakyat MERASAI susah payah kerajaan dalam menjaga hal-ehwal rakyat. Seperti yang orang putih kata, perlu ada "GIVE AND TAKE". Penulis memberi peluang kepada anda untuk berfikir, mana yang patut dirasakan betul, mana yang patut dirasakan salah. sekian WASSALAM. 




 

Monday 12 March 2012

Metamorfosis manusia

Assalamualaikum, salam pembuka bicara. Selamat datang ke entri terbaru rekaan penulis yang ingin bersama-sama penulis blog yang lain untuk 'menerjah' ke dunia blog yang penuh warna-warni ini. Sebagai permulaan, izinkan penulis menterjemah sisi makna Metamorfosis Kehidupan yang menjadi 'otot' dan 'nadi' pada entri ini. Seperti yang sedia ketahui, setiap kehidupan di dalam dunia ini akan melalui proses metamorfosis yang berbeza. Sepertinya rama-rama yang melalui proses metamorfosis dari seekor ulat beluncas sehinggalah ia menjadi 'makhluk' yang terindah tergolong dalam kumpulan yang disertainya. Maka manusia juga melalui proses metamorfosis juga, yakni perubahan fizikal dari lahirnya manusia ke dunia, mengenali apa ertinya dunia, sehingga ia mampu belajar untuk meniarap, merangkak, berjalan, berlari dan terjatuh, dan sampai saat dan ketikanya, manusia sedikit demi sedikit melalui perubahan fizikal secara mendadak.

 

Dari dunia yang 'KECIL' dan 'kerdil', manusia lantas berubah menjadi seorang KANAK-KANAK yang pandai bercakap, bergaul, bermain, bergaduh, berkawan dan sebagainya, sebelum dia mengalami 'anjakan paradigma' ke dunia REMAJA yang begitu menyeronokkan dan dianggap 'Dunia yang begitu menggiurkan', dunia yang serba dengan cabaran dan pancaroba. Lantas setelah penat mengejar keseronokan duniawi, manusia sedikit demi sedikit melangkah ke alam keDEWASAan yang mana kebiasaanya kematangan pemikiran sama sekali dituntut, namun adakalanya ia tidak seperti apa yang disangka, di pertengahan metamorfosis inilah yang sering terjadinya konflik, masalah yang pelbagai, kecelaruan dan pelbagai ragam kehidupan yang terpaksa dihadapi. Di sinilah peringkat metamorfosis yang sempurna sebelum manusia mengalami fizikal 'tidak awet muda', berkedut, semakin membongkok dan tidak punya daya ketahanan badan yang tinggi, yakni itulah yang dinamakan peringkat sudah lama hidup atau sudah lanjut usia a.k.a TUA.

Begitulah sedikit sebanyak proses metaforfosis manusia yang sedia kita ketahui. Metamorfosis tidak berhenti setakat ini sahaja, kerana metamorfosis akan menyingkap pelbagai perubahan fizikal, rupa, kejadian yang pokok pangkalnya adalah manusia yang menjadi agen kepada metamorfosis tersebut. sekian wassalam.