Saturday 12 May 2012

Teman, Kawan dan Sahabat

Teman, Kawan, Sahabat, rakan, kenalan dan sebagainya merupakan terminologi yang sama digunakan kepada seseorang yang berada bersama kita, atau bahasa mudahnya berada di sekeliling kita. Mereka merupakan insan yang sentiasa berada dalam kehidupan manusia walau manusia itu sering berubah tempat, waktu dan masa. Kerana walau di mana sahaja manusia berada, seorang rakan, sahabat, teman tidak perbah lekang dalam  ruang legar keduniaan manusia. 



Cumanya, mencari kenalan untuk bergembira memang suatu proses yang amat mudah, mereka mudah berdampingan dengan kita, mereka adalah orang paling 'setia' bersama kita, namun mencari makna sahabat atau rakan yang sejati, bukan proses yang mudah, perlu diperhalusi secara mendalam, dan perlu difikirkan apakah sahabat itu mampu bersama kita ketika susah dan senang.


Rakan atau kawan yang baik sentiasa memberi dorongan dan nasihat kepada kita, berada di legasi kehidupan kita walau waktu sukar, menolong apa yang termampu tetapi bukanlah memperhambakan atau memperjudikan kehidupan mereka sepenuhnya bersama kita, tetapi mereka inilah tempat untuk mengadu masalah, segala kedukaan, segala keresahan yang mungkin mampu dirungkaikan oleh mereka yang bergelar sahabat ini. Walaubagaimanapun, mereka tidaklah memberi komitmen 100% kepada diri kita kerana mereka juga manusia seperti manusia lain yang mempunyai kehidupan yang perlu dititikberatkan. 



Apapun tanggapan kita pada seorang rakan, dia tetap seorang sahabat yang berada dekat dengan kita, mereka sentiasa dalam pemerhatian kita, sentiasa 'wujud' dalam Firma Kehidupan manusia sehingga akhir nyawanya kerana mereka adalah TEMAN, KAWAN dan SAHABAT...





Friday 11 May 2012

MAKKAH, MADINAH: Al-Bait Al-Quds, Al-Bait Al-Idaman


Rasanya dua destinasi inilah menjadi titik tolak kepada seluruh umat Islam di dunia hendaknya. Destinasi yang sentiasa menjadi pilihan utama rakyat seagama kita, MAKKAH dan MADINAH. Nama pun sudah cukup membuatkan kita teruja, berkobar-kobar untuk ke sana. Bagi yang masih belum menjejakkan kaki ke sana, tentu mengharapkan sinar keizinan Allah untuk mereka pergi walau sekali. Bagi yang sudah pergi, semestinya, perkataan “Hendak pergi lagi” pasti ada dalam benak fikiran dan otak kepala.


Segala puji bagi Allah Yang Maha Memberi lagi Maha Kaya, tiada Tuhan selain Dia. Dia yang menjadikan Makkah sebagai Baitul Haram, sebuah tempat yang paling mulia.Makkah Al-Mukkarramah adalah sebuah negeri yang dipilih Allah sebagai tempat bagi Bait-Nya. Oleh karena itu, Dia menyucikan dan menjadikannya sebagai tanah suci yang damai, melipatgandakan amal kebajikan yang dikerjakan di sana, serta menjadikannya sebagai masjid dan kiblat dunia. Rasulullah SAW bersabda " Satu kali solat di masjidku ini lebih baik darpada seribu kali solat di masjid-masjid yang lain,kecuali Masjidil Haram.Sedangkan satu kali solat di Masjidil Haram itu lebih utama dari pada seratus ribu kali solat di tempat lain. 



Allah SWT berfirman :
Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (diantaranya) maqam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengejakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa menginkari kewajiban haji, maka sesungguhnya Allah Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (QS. Alu 'Imran: 96,97) 



Madinah atau nama penuhnya Madinah al-Munawwarah juga salah sebuah kota idaman yang terdapat di wilayah Hijaz, Arab Saudi. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepadaMadinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah (Kota yang bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud "bandar/kota".


Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid An-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad S.A.W. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan oleh Khalifah Al Walid Ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Umayyah.


Jadikan destinasi percutian anda atau destinasi bulan madu anda adalah MAKKAH dan MADINAH kerana ia adalah BAIT AL-QUDS, BAIT AL-IDAMAN.


Thursday 10 May 2012

Damai Lukisan Alam














Damai yang dirasa
Melihat warnanya
Tenangnya di mindaku
Suasana kehijauan yang indah

Kicauan berburung rimba
Berterbangan bebas di dalam rimba raya
Pepohon turut berlagu
Menerima sentuhannya sinaran sang mentari hari

Oh... di alam rimba damai dirasa
Segala-galanya terlukis sempurna
Di alam rimba keajaibannya
Pesona di jiwa

Di rimba tiada
Derita, sengketa
Tiada kudengari
Tangisan sepi yang mengguris hati

Sang pelangi ceria
Menanti kehadirannya gerimis senja
Bisikan tersirat air
Turut sama menghiasi
Keindahan ciptaan Ilahi


Tentu anda pernah memasang halwa telinga anda dengan lagu DAMAI yang dinukilkan untuk NOWSEEHEART ini?pernah atau tidak anda menghayati lirik indah seperti ini?penulis terpanggil untuk menyingkap sebuah lirik indah yang datang dari naskhah yang mampu mengajak kita menghayati betapa indahnya alam yang dicipta Sang Pencipta Yang Maha Esa ini. Walaupun lagu tersebut hanya berkisar tentang alam rimba namun, 'keindahan' alam itu boleh dikategorikan sama dengan alam ciptaan Allah yang lain tidak kira alam lautan, langit, bumi, gunung dan sebagainya.


Tidak kira di alam rimba, sinaran sang mentari, lautan berderu bersama ombak dan badai, pelangi yang mewarnakan dunia, bumi hijau yang sentiasa menerangi alam, langit luas terbentang bak lukisan, air hujan yang mencurah umpama meruntun perasaan manusia dan sebagainya bagai terlukis sempurna dengan damai yang tidak pernah lenyap dalam pandangan majazi ini.

Sebagai manusia, tiada apa yang kita mampu persoalkan kehebatan dan keagungan Allah S.W.T dalam 'melukis', 'menukil', mencipta alam ini dengan penuh keindahan, kecantikan, penuh warna dan warni, penuh makna tersurat dan tersirat keajaiban dari-Nya.

tidakkah kita dapat merasa ketenangan, ketenteraman, aman dan tentunya damai di hati melihat LUKISAN ALAM ini?Hilang segala derita, sengketa, masalah, marah, dendam, iri hati tatkala alam ini dihayati dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Kesedihan dan tangisan yang kita alami kadang-kadang akan surut apabila kita merenung, melihat, bersaksikan seluruh isi alam ini yang penuh dengan corakan dan 'kesenian'. 

Sama-samalah kita bersama menghayati, mendalami perasaan dan diri kita ini dengan sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi Allah secara percuma tanpa bayaran sesen pun ini. SUBHANALLAH, DAMAI SUNGGUH HATI TATKALA PANDANGAN TERPANA PADA LUKISAN ALAM. Wassalam. 




Tuesday 8 May 2012

Warisan bangsa, Permata Agama

Kanak-kanak (juga digelarkan budak atau anak kecil) ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai tahap kematangan dalam berfikir. Penulis mahu memanifestasikan bahawa seorang kanak-kanak itu adalah yang istimewa bagi insan yang bergelar ibu, ayah, guru, abang, kakak dan seluruh insani yakni yang menghuni dunia yang luas ini. Kanak-kanak atau anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang dikurniakan pada manusia untuk membentuk supaya boleh dibentuk, untuk membimbing supaya dapat dibimbing, dilentur, dididik dan diajar supaya tidak menjadi kurang diajar.







Makanya, asas bimbingan itu adalah bermula dari orang yang bergelar dewasa yang mana orang dewasa ini sentiasa menjadi ikutan, acuan dan contoh kepada kanak-kanak itu sendiri. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi orang dewasa.




Kanak-kanak ini umpama kain putih yang sukar kita temui tompokan hitam yakni sebarang kotoran. Mereka bersih, walau terkadang nakal tetapi tetap terpelihara dosanya sebelum dia melangkah ke alam remaja seterusnya dewasa. Sebab itulah, lumrah manusia, mereka akan suka kepada kanak-kanak, paling kurang sekalipun, mengambil berat tentang mereka kerana manusia lain tahu bahawa kanak-kanak inilah yang akan menjadi warisan bangsa, permata yang berharga buat Agama dan negara mereka seperti manusia seadanya.


Warisan inilah yang perlu dititikberatkan dari awal kerana proses pembesaran mereka merupakan proses yang amat merumitkan. Bukan senang membentuk mereka ke arah yang kita inginkan, menjadikan mereka apa yang dikehendaki oleh kita sendiri dan lebih bertuah jikalau mereka menjadi apa yang dicita-citakan oleh kita sendiri. Mereka juga ibarat permata yang wajib digilap menjadi permata yang disegani, dihormati, disanjungi dek kerana ilmu mereka, sumbangan, hasil kajian dan mungkin ketokohan yang ditonjolkan mereka suatu hari nanti. Merekalah yang akan menggantikan tokoh-tokoh, ulama'-ulama', negarawan, sasterawan negara sedia ada dengan keunggulan ilmu, kehebatan bakat serta kepandaian akal fikiran mereka jika diserap dan dicerap dengan baik.


Walau terdapatnya masalah-masalah yang tertimbul kerana menempatkan kanak-kanak ke dalam aliran tertentu pada peringkat yang "terlalu" awal, telah dianggapi bahawa pembunuhan kanak-kanak, pembuangan kanak-kanak, penggunaan kanak-kanak untuk angkatan bersenjata, serta penyakit masyarakat yang lain telah dikurangkan dengan penggunaan pendekatan pembangunan manusia, negara kini memberikan nilai hidup yang tinggi kepada kanak-kanak.




Begitulah insan yang bergelar kanak-kanak, tidak pernah lari dari pengharapan dan impian setiap manusia dewasa untuk melihat mereka membesar dengan secara sihat, dalam keadaan baik dan sudah tentu menjadi orang yang berguna satu hari nanti. Merekalah orang yang disebut-sebut mampu menjadi insan impian, insan dambaan bagi manusia yang sentiasa mengharapkan visi ke arah itu. Sudah tentu menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat mereka kelak, mampu membuat satu sumbangan yang diingati sampai ke akhir hayat mereka kerana mereka adalah WARISAN BANGSA PERMATA AGAMA.





Monday 7 May 2012

OOPSS, KHILAF TAIP...

Dalam dunia ini, manusia seperti kita tidak mampu untuk lari dari melakukan kesalahan, tidak kiralah kesalahan itu datang dari perbuatan mereka sendiri ataupun melalui perkataan yang dizahirkan melalui penulisan, ruang tanda, khidmat pesanan ringkas, walaupun apabila kita menaip dalam sesuatu perkara. Samada, di akhbar, papan tanda, dalam telefon, penerbitan buku, majalah dan sebagainya, kesalahan ejaan ataupun typo tidak dapat tidak untuk kita elak dari melakukannya. Tidak banyak, hatta sedikit pun ia dikira terkhilaf sesuatu ejaan atau penaipan. Di sini, penulis sertakan beberapa gambar kesalahan atau kekhilafan ejaan yang sempat penulis lihat dan perasan.

  

Ini merupakan kesalahan pertama penulis dapat yang mana kesalahan di atas dijumpai sekitar Jalan Pekan Nilai. Tidak pernah rasanya penulis mendengar atau melihat perkataan POLISE, melainkan POLIS, iaitu anggota keselamatan dan keamanan di Malaysia. Boleh jadi si pemilik car wash ini menawarkan perkhidmatan CAR POLISH atau menggilap kereta.



Satu lagi kesalahan yang dijumpai di sekitar kawasan tempat tinggal penulis iaitu di kawasan Labu, Seremban. Penulis tidak pasti samada, pemilik gerai mempunyai bahasa tersendiri dalam menafsir sesuatu makanan. Jelas kelihatan perkataan KUII itu, patut dibetulkan kepada KUIH.


Juga dijumpai di Pekan Nilai. Ejaan yang sepatutnya pada perkataan PERABUT di atas adalah PERABOT, mengikut ejaan yang betul di dalam Kamus Dewan yang termaktub.


Sudah terang lagi bersuluh, tetapi apakan daya, wartawan juga tidak dapat lari untuk melakukan kesalahan dalam penaipan. Tidak mungkin ayat peniaga di atas sesuai dengan KECURIAN tersebut yang sepatutnya digantikan kepada KERUGIAN.


Kesalahan ejaan di atas dilaporkan di kawasan Kampung Bukit Kadir, Nilai yang mana merupakan kawasan masjid kampung tersebut. Dalam perkataan arab perkataan yang selalu digunakan untuk menunjukkan masjid di sesuatu kampung di panggil Qaryah. Berlainan maksudnya apabila kampung yang dipindah bahasa kepada bahasa Arab adalah KHARIAH, yang tidak membawa maksud sebenar.

Inilah lima Typo atau kesalahan ejaan yang sempat penulis rakamkan, prihatinkan dan titikberatkan. Banyak lagi sebenarnya kesalahan yang penulis jumpa dan perasan, yang mungkin penulis akan 'mendedahkannya' di masa yang akan datang. Tidak kiralah kesalahan itu datang dari papan tanda, sesuatu produk, penulisan majalah, akhbar, penulisan buku dan sebagainya. Apa yang penting, kita adalah manusia biasa tidak pernah lari dari MEMBUAT KESALAHAN lagi-lagi kesalahan itu datang dari perkara yang kita tidak pernah jangka seperti 'kekhilafan' di atas, walau hanya KHILAF TAIP.